Kecintaan ku,
aku risau
kalau kau masih ragu-ragu.
percayalah...
kasih itu bersih
jernih
benih
putih yang memulih
segala sedih
pedih
perih
Wau
Ba
Ta
telah ku rungkaikan seluruh
sanggarraga ini menjadi jisim magis.
metafizika yang tak capai dek fikir mu.
kerana ianya rahsia
aku dan Dia Yang Maha Tahu.
Maha Penentu segala lintas rasa dan gerak
Pemilik jasad dan hayat ku.
Sungguh tiada daya dan upaya
Ku serahkan aku kepada Nya....
bagai mayat dengan pemandi.
Kecintaan ku,
Seandainya kau tahu
tentu kau mahu
dan jika mahu
pasti kau tahu
kelak tahu itu ilmu
mata di hati
melilin diri
menyentap hijab
terselak tabir
Malakut... Jabarut
gegar lutut
fana takjub
bukan taksub
tercabut segala
kusut serabut
kalut
kemaruk
takut
karut melalut
...lalu zuhud
Kecintaan ku
Kilau timbun hartamu
biarlah dari dinar pekerti
budi panca sanubari
berani, sejati hati yang tiada mati
Luhur yang kian subur
takkan berkubur
biar gugur
terkujur habis umur.
Walau urat daging tulang belulang hancur tersembur
Ta
Sod
Wau
Fa
Ayuh!
mari bersungguh
kita bunuh musuh!
serakah hasad dengki kianat
ujub takbur riyak
dendam kesumat
kepala pengat segala musibat!
Pandai akal itu pendekar.
Segerak elak tepis menampar
Bangkit jihad
Lawan onar
Sanggah batil
tegah mungkar
Biar makruf
Tegak benar
Srikandi Cempaka Sari
Seri bistari anggun puteri
Biar comel molek
indah cahaya mewangi.
simpuh bima diwani
jangan jelek cara nak dara....
buruk rupa!
Sopan bahasa santun budaya
bertitih mengusul silah
alir darah Bonda Keturah,
lembut tiada amarah
Keramat kata Tuah
"Tak Melayu hilang di dunia"
Jiwa bangsa segak gagah
Taman iman
menguntum amal.
Putik cinta yakin rasa.
llmu yakin
Ainul yakin
Haqqul yakin
Kamalul yakin
Jazamlah segala Nafi dan Isbat
Beza kaenat, Sifat dan Zat
Kenallah diri yang tiada hebat
Barulah akal tidak tersumbat
Tahu letaknya Qudrat Iradat
Syariat
Tarikat
Hakikat
Makrifat
Maha Suci Tuhan
Agung Khumalat.
Tak kenal tak cinta
Tak cinta tak mesra
Hati tak mesra
Mana kan bersatu
Layu.....
hampa
sia-sia
binasa
Kecintaanku,
sungguh tiada yang aku mampu,
walau untuk meninggalkan seputung alif buat mu....
aku hanyalah fakir melarat yang sarat hutang berkarat.
Aku perlu melunaskan pinjam-pinjaman ini
kepada Tuan ku sebelum tempoh hutang ku luput,
Sebelum Dia datang menuntut.
aku mula semput
mereput...
namun seizin Nya
hati segenggam ini telah selapang Arafah
ku wakafkan buat mu
kekasih
teman
rakan
sahabat
saudara
seteru
engkau
kamu
kamu
dan...kamu
disinggah-singgah semalam
esok.....selamanya
Yakin
percayalah
wahai kecintaan ku,
Lillah
Billah
Wallah
Minallah
Yang ikhlas kan bertunas,
jelas dan bernas
kemas tegas dalam waras
Yang tidak
pasti cemas,
lemas
lemah
hilang nafas.
ikhlaskan....
gapai....
walau terkapai...
biar longlai
kecai bersepai
pasti sampai.
No comments:
Post a Comment