Asap rokok yang berkepul-kepul tak mampu menghambat
nyamuk yang riangria merempit tepi telinga.
Naik lenguh muncung mulut jadi fogging.
Tapi yang lemasnya dia.
Tangan pun dah tak larat dari tadi duk menepis tampar sambil pedih garu menggigit kulit.
"Heeeeeiiiii...... Aku karate jugak nyamuk ni kang!"
Sudah setengah jam Isham hang depan laptop.
Terklepot-klepot puas mata menghadap punat-punat huruf dan nombor.
Tapi belum sebiji pun ditekannya.
Hadap yang kosong... sekosong kepalanya.
Layar mana dulu yang nak dia pacak pun entahlah...
Ini lah bahananya bila rencah rasa yang dah masuk ke jiwa,
dah pejal mendaging urat dulu tiada catat rakamnya.
Makanya tergagaulah imbas kembali dulu-dulu bersusun lapis dalam litar ingat.
Bukan apa pun tujuannya, sekadar dokumentasi lakarapu jurnal hidup,
Mengenang saka khazanah, layar suka dan duka rasa yang kolektif dalam imbau usianya.....
kala senja hayat kian terasa dan tersisa.
Seingat Isham, tahun 1990 merupakan detik mula dia membuka cebis layar
dalam cubaan untuk bermain angin seni di Kuala Lumpur.
Selewat belasan tahun usia, bukan tak pernah dia pijak bumi kotaraya ini,.
Cumanya sekadar jalan-jalan makan angin waktu hantar arwah atuk naik haji
diusia tahun 6.....
akhir 70'an.....
pun dah kering imajan.
Tapi kali ini atur langkahnya akan jauh lebih luas dan panjang,
akan lebih lama berbekas kerikilnya dipijak injak tapak
dan pastinya lebih kental lagi segar debu jerebunya dihirup
untuk dia padatkan ke rongga jasad hingga jadi kerabu..... candu kalbu.
Bugar dada ibukota akan didakapnya.
Lalu menyusu, kemudian merangkak,
seterusnya bertatih,
bangun...
jatuh...
bangun...
Bangun!
Memburu hidup.
A-kisah bermulalah atur hayun langkah kampung anak muda itu ke
Kotaraya Metropolitan kebanggaan segenap insan...
usahawan
karyawan
hartawan
dermawan
rupawan
purawan
kawan.....lawan.....gelendangan....
haiwan.....
semua tertawan.
Berkolek dan bersajaklah anak laut meninggalkan masin nyaman bayu China Selatan
untuk mencari kubang gelumang ke Kuala Selut.
Aku berkolek di dada laut
dengan jala jemala
Ku tebarkan sepenuh tenaga
memburu hidup
memburu hidup
Aku berkolek dan aku bersajak
Dari pantai timur ke kuala selut
Mencari penawar
Turunlah angin selatan
Bawalah kolekku
ke pelabuhan Kelang
............. ... . . . .
Selangkah keluar dari Puduraya,
mesra raung enjin, gegar hon bas mini berserta mesra pekik konduktornya
menyambut tiba Isham di suatu subuh yang kucah.
Merdu kicau gagak tak putus menyanyikan lagu selamat datang.
Dalam samar neon dan cerah tanah kelibat zombi mula muncul dari serata celah dan arah.
Wajah-wajah ketat, tanpa riak dan ucap berpusuan menyertai rutin masing-masing...
Bosan menolak mesra alam pemandu teksi dan prebet sapu yang berkerumun,
Isham berhenti menapak lalu melabuhkan punggung yang dah berpetak rasanya
di anak tangga Menara Maybank.
Sejurus kering tekak mula terasa. Isham bingkas ke gerai mamak berdekatan.
Dalam hati sebenarnya risau.....cuak kalau tah mana-mana mamat bengong datang "pow".
Selalu dia dengar kisah budak-budak kena pow di KL masa kat kampung dulu.
Dahlah masa kat dalam Puduraya tadi bercelaru solat subuh dalam sesak jemaah dengan risau beg dilarikan orang.
Kemudian ada pulak brader-brader kepoh yang main pegang, tarik-tarik berebut "mempelawa" singgah minum di gerai mereka. Menyirap darah ke ubun.... ringan dah-dah jer badan, nasib tak melatah kaki tangan!
Terkejut dia dengan stail diorang ni berniaga......macam zaman Conan.
Haru.... karu....karu.... Isham Paranoid.
Gedebak....gedebuk....
Akhirnya, dengan rasmi..... buat pertama kali dalam hidup,
disini, Isham pekena teh tarik dan roti canai mamak...
di warung mamak!
Ye lah, di tempatnya mana ada mamak-mamak ni semua.
Setakat pulut gaul nyor dan ketupat palas gerai cakung Jusoh,
"telor ayang kapung harong kuca madu Tualang" kedai kopi Ayoh Wan,
bangsal nasik Dagang Mok Teh, Laksa Laksam Mek Mah, nasi kerabu Mek Jaroh dan yang sewaktu dengannya ada la! Well.....
"this very here and now.... I am yours KL" Skeaping London Isham di KL dalam hati.
Sambil-sambil asyik duk feel his first teh tarik mamak,
pacak-pacak konkrit pohonan rimba batu mula semakin jelas dan gah mendongak suria pagi.
Terpaku otak Isyam melihat paku-paku bomi buatan manusia yang terhasil dari paku-paku alam yang ditebuktarah sampai gondol.
Waaa..... inilah dia pembangunang zamang modeng! Berbaur Isham dalam pegun dan canggung.
Unggas-unggas legam yang riang berdendang sejak awal tadi besilang galang terbang melintasi pepohon pejal sasa
lalu singgah berebut sepah di perdunya.
Zombi-zombi majmuk juga semakin ramai keluar dan pantas bergerak kedalam sistem-sistem yang ada.
sungguh mekanikal dan robotik! Begitu Kuala Lumpur sekali pagi itu.
dan seawal hari itu Isham pun turut tak terlepas....hanyut kedalam jebak sistem metropolis yang rakus.
Setelah puas bersusun menunggu giliran sambil menjamu asap ekzos percuma,,
akhirnya dia tersandar dalam sebuah teksi yang berdecit keluar dari pusar hingar-bingar.
"Mana lu mau pigi?" .Tanya drebar teksi dengan pelat cinanya.
"Itu Kompleks Budaya Negara, KBN sana." . Jawab Isham pun turut sekali jadi pelat.
"Ooo... itu belakang Samy Vellu punya tempat maa..." Apek tua berbunga ramah.
"Ya... Ya... itu Samy Vellu punya belakang punya JKR." 1 Malaysia Isham lagi..
"Lu sana kelija ka?"
"Tadak laa... saya baru sampai sini KL dari Terengganu...." Ringkas jujur anak muda.
"Ooo... itu macam aaa..." Puas tak puas hati si sepet.
Soal dan jawab borak berlangsung sambil teksi melewati beberapa landmark ibukota...
Masjid Jamek yang biasa Isham tengok dalam poskad,
Bangunan Sultan Abdul Samad di tv setiap kali 31 Ogos muncul,
Padang Kelab Selangor pun baru saja menjadi Dataran Merdeka,
Bank Negara pula hari-hari nampak di kertas ringgit Malaysia.
Selepas melintasi bangunan JKR yang tak pernah dia lihat,
tiba-tiba teksi berhenti di depan pintu masuk utama sebuah kompleks pejabat
"Haa... ok sula sampai sini tempat" Teksi perlahan lalu berhenti.
"Eh, cepatnya sampai... takdelah jauh sangat dari Puduraya tadi pek....jalan kaki pun sampai ni."
Turun dari teksi lalu Isham menghulur tambang.
"Ya laa... tatak jauh maa. Tapi lu belum kenal ini tempat mana macam mau jalan"
Sengih drebar cina tu sambil mengira helai ringgit.
"Betullah tu pek...lain kali jalan kaki je lah! Ok Telima Kasih." Seloroh Isham mengakhiri mesra sepagi.
Teksi laju jer hilang ditelan kabus hutan dan lembah bukit pagi itu.
Memanglah tak jauh mana, tapi bermasam peluh jugaklah kalau nak menapak dari Puduraya tadi.
"KOMPLEKS BUDAYA NEGARA" - Isham berdiri betul-betul di depannya.
Melangkah masuk ke dalam kompleks, ke kiri kanan Isham cuba menyangkut soal.
Muncul seorang yang agak familiar rautnya melintas depan Isham, dia biasa tengok brader ni kat......
...bagi salam serba sikit Isham pun bertanya dan ceritakan hajat hajatnya,
"Ooo... Man Gamelan ya? Ada... dia ada tadi, tunggu kejap ya dik." Jawab brader cool.
"Emm, abang ni... yang selalu berlakon kat tv tu kan?" Brader tu senyum-senyum kucing jer dengar soalan Isham.
Sempat juga Isham layan sembang dengan brader glamer yg selama ni dia hanya tengok melalui lakonannya kat tv jer.
"Teruja gak aku... artis tu! Kebetulan pun memang aku minat teknik lakonnya!" Isham bersoluloki
"Man, anak buah kau dari Terengganu ada datang nak jumpa kau ni."
Harun Hashim menelefon Man Gamelan.
"Ok dik, Pak Man kau suruh pergi kat bangunan sana...bla bla bla...jom"
Brader Harun bawak Isham ke bangunan lain tempat Man Gamelan berada.
Ok gak brader ni, tak la sombong.
Dia mengekor je Harun Hashim ke sebuah bangunan kayu berwarna krim yang agak memanjang, bertiang tinggi
(mungkin dua tingkat kot...Isham ingat-ingat lupa). Di bahagian bawahnya ada ruang seperti tempat latihan menari atau berlakon. Betul-betul bersebelahannya pula adalah cerun lembah dan hutan tebal.
Di sini akhirnya Isham bertemu dengan bapa saudaranya yang sekian lama dia tak jumpa...
anak kepada Primadona Gamelan, Mak Nang. Beliaulah satu-satunya anak Mak Nang yang
mewarisi, mendalami dan menguasai seni dan muzik gamelan serta selayaknya kini dengan gelaran
Adiguru Gamelan Negara.
Kalaulah Isham perempuan, mesti dia pun turut boleh menari gamelan dengan baik.
Pun begitu darah seni warisan masih terus bertitih alir dalam dirinyai... cumanya dalam bentuk yang lain,
Masih dalam mainan gerak dan rasa..... gestur tari di atas kanvas dgn berus dan palit warna,
Tingkah dialog dan aksi menjadi irama dan tari di pentas......bertari buah dan jurus dalam silat.
Sebenarnya tujuan Isham ke Kuala Lumpur adalah untuk .......hmm....ah, lain kali lain bab la cerita!
Sebelum ini Isham pernah dengar dan tertarik dengan kisah kegiatan senibudaya rintisan kumpulan "Anak Alam".
KBN inilah tapak asal tempat para seniman dan aktivis seni budaya negara bermula suatu masa dulu.
Penulis, penyajak, pelakon, pemuzik, penari, pelukis, orang teater dan lain-lain lagi "pemain" berkumpul, berdiskusi
dan menggiatkan kerja sastera, seni dan budaya dengan penuh imarah. Alhamdulilah,
kegiatan tersebut masih terus giat berlkembang lansung dengan pengisian yang lebih bersistematik dan fomal
di tapak asal ini hingga ke hari ini... menjadi sebuah institusi pengajian seni,
Akedeni Seni Kebangsaan... ASK -> ASWARA
Isham yang baru jer sampai di sini macam bangga la pulak...
terasa-rasa getar semangat dan aura seni di sekitar kompleks ni!
Hari ni Isham dapat lesen besar... bebas merayau, melepak, makan minum, borak dan kulu kilio dengan pakciknya di KBN.
Jenuh gak dia duk tengok orang berlatih drama,
terpekik terlolong... ketawa... satgi nangis pulak... pastu marah-marah... ketawa lagi... macam-macam pesen, tak paham dia! Tapi yang seronoknya,
hehe... duk tengok penari-penari berlatih la.....comel-comel belaker!
Kusyuk sungguh dia. Ramai jugalah manusia-manusia kreatif yang Isham jumpa,
tengok wajah dan lagak masing-masing dengan mata kepalanya di sini antaranya Ahmad Yatim, Imuda, Mat Over Yusuf Wahab, Sabri Yunus....dan lail-lain lagi yang masih belum dikenalinya.
Setelah puas sehari suntuk Isham di KBN, sedar tak sedar cerah langit merah menghimpit maghrib.
"Jom kita balik mandi-mandi dulu, pasni kang nak keluar lagi....kita gi makan kat Benteng!"
Akhirnya Man Gamelan mengajak anak saudaranya itu balik ke rumah bujangnya di Batu Kentomen.
ketika berjalan menyusur cerun bukit untuk naik ke atas, Man Gamelan menunding ke ceruk lembah.
Apa benda tah ditunjuknya, yang Isham nampak cuma batang-batang pokok yang besar dan semak hutan yang tebal.
"Kalau berani kau pergilah masuk kesana....." Man Gamelan tiba-tiba mengacah.
"Eh! Apahal pulak orang tua ni suruh aku masuk ke dalam ceruk lembah hutan tu."
Musykil hati Isham sambil menggaru kepalanya yang tak gatal.
Suasana suram senja yang bersulam bunyi-bunyian hutan malam sekeliling
cepat jer menaikkan segala bulu yang ada di batang tubuhnya,
Kalau cerah siang hari pun Isham akan fikir dua kali,ni kan pulak waktu maghrib buta begini....
Kena upah pun dia taknak ah! Dahlah tak pernah-pernah dia sampai tempat ni....
buang tebiat ke apa pakcik aku ni.... Gerutu hatinya.
"Ishk.....Kenapa? Ada apa kat dalam nu Ayoh Teh?". Berkerut tanya Isham hairan.
"hehheh......" Ayoh Tehnya gelak, lepas tu tersengih....lepas tu diam tak jawab-jawab soalannya.
"Aku pelik semacam, tapi dia gelak-gelak pulak, Macam la aku buat lawak.
Atau mungkin dia sebenarnya yang melawak.
Kalau iya, memang semacam jugak la lawak maghrib hari pakcik aku ni.
Ah! Makin bertambah musykil pulak aku sudahnya..... malas la aku layan lawak tah apa-apanya tu!"
Isham mengomel dalam hati.
"Ishk.... malas layan la mengarut Ayoh Teh ni..." Berdecum Isham naik ke kawasan parkir.
"hehheh...hehehe.... hahaha.....penakut jugok kau ni...". Pakciknya terus mengekek gelak di bawah.
" Holah....meme doh boh! Mainang apa garik-garik hari maing celoh hutang". Sahut Isham.
"Mana ada orang masuk main-main dalam nu....
Kholid Salleh jer yang berani, siap ada pondok rehat lagi dia....". Man Gamelan mula buka intro.
...........bersambung.
*cerita, watak dan plot hanyalah rekaan semata-mata.
Jika ada sebarang persamaan itu hanyalah kebetulan atau kebenaran latar yang telah difiksyenkan.



